Wednesday, July 27, 2011

KIYAI SALLEH PANGLIMA SELEMPANG MERAH








Pemimpin Tentera Selempang Merah banyak berjasa halang kekejaman askar PKM di Batu Pahat, Johor

"SEKIRANYA tiada Panglima Salleh, mungkin tidak ramai penduduk asal Batu Pahat dan Muar di Johor yang masih hidup ketika ini kerana mereka mungkin mati dibunuh komunis," demikian ulas penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar ketika mengenang kembali sejarah perjuangan Salleh Abdul Karim yang kini semakin dilupakan ramai pihak.


Beliau berkata, jasa Panglima Salleh amat besar malah mungkin setaraf dengan perjuangan tokoh terdahulu seperti Tok Janggut dan Mat Kilau tetapi melewati masa, nama pahlawan itu semakin dilupakan dan tidak mustahil akan hilang dalam catatan sejarah negara, suatu hari nanti.

"Walaupun tidak banyak catatan mengenai perjuangan dan kehidupan beliau yang direkodkan dalam sejarah tanah air, nama Panglima Salleh tetap kekal diingati dan disebarkan menerusi lisan oleh penduduk sekitar Batu Pahat dan Muar.



"Walaupun hampir setengah abad tokoh pahlawan itu meninggal dunia, kisah keperwiraan Panglima Salleh tetap diperturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya di Johor dan semangat beliau dijadikan teladan buat anak muda hari ini," katanya.

Sememangnya benar berbanding dengan nama pahlawan lain seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Tok Gajah atau Leftenan Adnan, mungkin ramai tidak mengenali siapakah Salleh Abdul Karim yang turut digelar Panglima Salleh.

Sumbangan Panglima Salleh amat besar, ketika komunis mengganas dengan menyeksa dan membunuh kejam penduduk tempatan sekitar Batu Pahat dan Muar, tokoh itu bangun 'mengamuk' menentang pengkhianat negara itu bagi mempertahankan maruah bangsa.

Tentangan hebat diberikan Panglima Salleh dan pasukan 'Tentera Selempang Merah' yang ditubuhkannya menyebabkan nama tokoh itu digeruni komunis sehinggakan mereka tidak berani lagi bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan sesuka hati.

"Apa yang mengagumkan saya adalah Panglima Salleh sanggup 'turun padang' untuk bertempur dan memerangi sendiri askar komunis, beliau tidak takut mati malah sanggup mempertaruhkan darah dan nyawanya sendiri demi membela agama dan bangsa," katanya.

Menyedari tidak banyak catatan mengenai jasa dan sejarah kehidupan Panglima Salleh yang direkodkan, Dr Tuah mengambil inisiatif mengkaji seterusnya mengabadikan kisah pejuang itu dalam bukunya 'Membina Jati Diri Gemilang'.

"Riwayat hidup Panglima Salleh bermula apabila beliau dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar pada 1916," kata Dr Tuah seterusnya memulakan kisah perjuangan Panglima Salleh menentang komunis demi membela agama, bangsa dan negara.

Keperwiraan Salleh mula diasuh sejak kecil apabila beliau mula menuntut ilmu kepahlawanan daripada beberapa pendekar di Pagoh antaranya Haji Hussein, Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad ketika beliau berusia 13 tahun.

Ketika usia mudanya itu, beliau dikenali sebagai seorang yang agak 'nakal'. Ada cakap-cakap mengatakan dia pernah mencuri, bagaimanapun dia menyara hidup dengan menjadi peraih yang mengutip tanaman penduduk kampung untuk dijual di Batu Pahat.

Akan tetapi, kehadiran tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 mula menggugat kehidupannya lalu beliau berpindah ke Seri Medan yang menjadi lubuk Parti Komunis Malaya (PKM) seterusnya ke Parit Gantung, dekat Lopiak.

Pada zaman pemerintahan Jepun, komunis menerusi Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) masih dianggap sebagai antara pejuang penentang penjajah Jepun di Tanah Melayu malah mereka turut mendapat sokongan rakyat tempatan.

Berikutan itu, Salleh dipercayai menerima pelawaan PKM supaya menyertai pihak itu dan beliau diberi kepercayaan untuk mengutip cukai daripada penduduk kampung dan peniaga. Salleh juga turut diberi sepucuk pistol oleh PKM.

Bagaimanapun, Salleh tidak menyerahkan semua pungutan cukai itu kepada PKM sebaliknya beliau bertindak seumpama 'Robin Hood' apabila mengagihkan pungutan itu kepada penduduk susah dan miskin.

Tindakan itu menyebabkan PKM berang dan pada suatu malam, segerombolan komunis bertindak mengepung rumah Salleh. Bagaimanapun, ketika menyerbu masuk, mereka gagal menemui kelibat Salleh walaupun dia memang berada di dalam rumah berkenaan.

Mereka mengulangi serbuan selama tujuh malam berturut-turut tetapi masih gagal. Berang dengan kelicikan Salleh menyebabkan komunis memasukkan pemuda itu dalam senarai 'bertanam ubi' iaitu istilah bagi mereka yang akan dihukum bunuh oleh komunis.

Ketika itu PKM mula menunjukkan 'wajah' sebenar mereka. Berita kehilangan penduduk Mukim Empat secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan semakin menjadi-jadi. Selepas seorang, seorang lagi penduduk dilaporkan hilang secara misteri.

Penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada suku Banjar dan Jawa mula percaya yang kehilangan saudara mereka adalah angkara komunis berikutan mereka enggan tunduk kepada perintah dan arahan pihak terbabit.

Pihak komunis pula mengesyaki penduduk Mukim Empat berpakat dengan tentera Jepun untuk memerangi mereka menyebabkan mereka mula menangkap penduduk yang disyaki seterusnya dihukum bunuh.

Kemelut itu akhirnya menyebabkan penduduk tempatan mula menubuhkan 'Persatuan Muhammadiah' dalam usaha menentang komunis. Penduduk juga mula bangkit membela diri dan pembunuhan balas antara komunis dengan penduduk Mukim Empat semakin memuncak.

Ketika tentera Jepun di ambang kekalahan, komunis semakin bermaharajalela di Johor. Mereka mula mengganas dan menyeksa penduduk tempatan dengan zalim. Penduduk dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan sehingga ratusan penduduk menjadi mangsa mereka.

Pertemuan Salleh dengan seorang tokoh iaitu Haji Kadri pada petang 4 April 1945 akhirnya mula membenihkan semangat juang demi membela agama, bangsa dan tanah air di dalam hati sanubarinya.

* Ada dikatakan Kiyai Salleh juga belajar dengan Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten (Kiyai Fadhil) ulama' tasauf dan tarikat yang amat masyur ketika itu

Kesedaran tulus itu menyebabkan Salleh mula bangkit menentang komunis. Dengan pedang pusaka Raja Riau disisip di pinggang, berpakaian serba hitam, Salleh mula melangkah gagah memasuki gelanggang perang bersama doa dan bacaan ayat suci yang dibaca berulang kali.

Penyertaan Salleh dalam penentangan terhadap komunis menyebabkan namanya dicalonkan Haji Kadri supaya memimpin Persatuan Muhammadiah selepas pemimpin sebelum itu, Ijam Ahmad menarik diri.

Walaupun pada mulanya ada ahli tidak bersetuju dengan pencalonan Salleh berikutan ‘kenakalan’ tokoh itu ketika muda, akhirnya semua ahli akur untuk menerima Salleh sebagai pemimpin persatuan itu.

Ini berikutan Salleh dikenali sebagai seorang yang hebat dalam ilmu persilatan dan tinggi ilmu batin malah sikap gagah berani tokoh itu dilihat amat sesuai untuk mengepalai pasukan perang menentang komunis.

Sebaik dilantik, Salleh mula menyusun strategi dan mengumpul anak muda yang tidak gentar atau lemah semangat untuk bersama-samanya bertempur. Anak muda itu diajar amalan tertentu bagi menguatkan aspek kebatinan masing-masing.

Seterusnya di bawah pimpinan Salleh, serangan demi serangan mula dilancarkan pasukannya yang turut digelar 'Tentera Selempang Merah'. Serangan Tentera Selempang Merah terhadap komunis tercetus di seluruh Batu Pahat dan Muar.

Selain serangan secara berpasukan, Salleh juga bertindak berani apabila berbasikal seorang diri hampir setiap malam semata-mata untuk mencari komunis bagi dibunuh dan dicantas kepalanya.

Di bawah bimbingan Salleh, semangat perjuangan di kalangan penduduk ketika itu amat berkobar-kobar dan mereka mula merancang satu serangan besar-besaran terhadap komunis di Bandar Penggaram.

Bagaimanapun, serangan itu berjaya dihalang Datuk Onn Jaafar dan tokoh politik itu sebaliknya cuba mengaturkan perdamaian antara pihak Salleh dengan komunis.

Lalu pada 15 September 1945, pada satu pertemuan di Tangkak, Muar, akhirnya pemimpin PKM dan Salleh akur untuk mengadakan perdamaian selepas tiga hari berbincang.

Bagaimanapun, perjanjian damai itu akhirnya dikhianati komunis apabila mereka terus melakukan angkara dan membunuh kejam penduduk tempatan terutama apabila Jepun menyerah kalah.

Pengkhianatan itu segera membangkitkan kemarahan Salleh dan beliau kembali mengumpul pasukan Tentera Selempang Merahnya untuk kembali menentang komunis Bintang Tiga itu. Serangan berterusan dan semakin ramai komunis yang maut di tangan pahlawan itu.

Jasa Salleh dalam usaha menghapuskan komunis menyebabkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim memberi gelaran 'Panglima' kepadanya pada 26 Disember 1945 malah beliau turut dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat.

Selepas menabur begitu banyak jasa terhadap agama, bangsa dan tanah air, Panglima Salleh akhirnya meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 iaitu selepas hampir dua tahun negara beroleh kemerdekaan.

Tokoh pahlawan itu meninggal dunia akibat penyakit bengkak paru-paru sekali gus meninggalkan nama dan keperwiraannya sebagai sebuah kisah pejuang ulung yang meniti daripada bibir ke bibir.

Komunis terkejut tubuh tak lut peluru

SELAIN semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang begitu membara, kehebatan Panglima Salleh dipercayai terletak pada kekuatan ilmu batin yang dikuasainya sehingga menyebabkan ramai komunis takut untuk berhadapan dengan tokoh itu.

Pengkaji yang juga penulis novel sejarah, Zaharah Nawawi, berkata berdasarkan kajiannya mengenai sejarah hidup dan perjuangan Panglima Salleh, ramai kenalan atau pihak yang mengenali tokoh itu menceritakan bahawa kekuatan ilmu batinnya menyebabkan beliau mampu melakukan beberapa perkara luar biasa.

"Mengikut cerita, beliau boleh menjelma seperti kucing, menyelinap masuk ke dalam rumah daripada celah lubang yang kecil malah boleh mengghaibkan dirinya.

"Bagaimanapun, beliau menggunakan ilmu batin yang dikuasainya ke arah kebaikan iaitu dengan memerangi komunis," katanya yang mengabadikan kisah perjuangan Panglima Salleh dalam novelnya 'Panglima Salleh Selempang Merah' yang diterbitkan pada 1988.

Zaharah berkata, kehebatan ilmu batin Panglima Salleh juga menyebabkan berlaku beberapa kejadian aneh sehingga menyebabkan komunis berasa gerun tatkala berhadapan dengan tokoh itu ketika pertempuran.

"Bayangkan, peluru komunis macam hujan tetapi tidak kena pada jasadnya, yang kena hanya batang pokok. Ketika itu komunis melihat tubuh Panglima Salleh menjadi gergasi dan mereka menembak ke atas jadi kena pokok saja.

"Ketika Panglima Salleh pergi ke Batu Pahat pula, seluruh bandar sunyi sepi kerana musuhnya melihat di langit tertera kelibat gergasi hitam menyebabkan mereka takut dan melarikan diri," katanya.

Katanya, antara kehebatan Panglima Salleh yang menjadi buah mulut ramai pihak adalah cerita mengenai komunis yang melihat parang milik Tentera Selempang Merah terbang mencari kepala mereka untuk dicantas ketika pertempuran.

Pasukan Panglima Salleh juga dikatakan menggempur komunis dengan menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak walaupun pengganas itu menggunakan senjata api.

Panglima Salleh sendiri memiliki sebilah pedang luar biasa yang diperoleh beliau di Kampung Tebing Tinggi. Pedang istimewa warisan pusaka Raja Riau itu diberikan seorang lelaki bernama Taib sebagai bayaran tukaran kepada segantang beras yang ingin dibeli Taib daripada Salleh. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan.

Zaharah berkata, tubuh fizikal Panglima Salleh hanyalah kecil tetapi semangat dan keberaniannya menyebabkan beliau tidak gentar menentang komunis malah turut sama menyertai pertempuran. Panglima Salleh juga dikatakan memiliki kebolehan melentur besi.

Sebelum turun untuk memerangi komunis, Panglima Salleh akan melakukan amal ibadat tertentu antaranya berpuasa, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu malah kaedah persediaan serupa turut dilakukan pengikutnya.

"Sebelum bertempur, Panglima Salleh akan memilih pengikut berasingan mengikut kampung, beliau akan memilih pengikut yang tidak terlalu tua atau terlalu muda dan akan menepuk bahu bagi menguji tahap keberanian pengikut yang ingin menyertainya berperang.

"Selepas itu beliau akan menyuruh pengikut terbabit berkumpul di rumahnya untuk melakukan persediaan dengan beramal ibadat, solat hajat dan menikmati jamuan," katanya.

Seterusnya semua pengikut terbabit akan meminum air dari tempayan yang dijampi Panglima Salleh malah beliau akan memberi secebis kain merah kepada setiap daripada mereka.

"Ramai beranggapan yang Panglima Salleh dan anak muridnya yang menerima cebisan kain itu kebal tetapi mengikut seorang daripada pengikutnya, mereka semua tidak kebal.

* Ada juga diceritakan beliau sendiri turut tercedera dibahu terkena tikaman tombak semasa berperang, ini menunjukan beliau tidaklah kebal sebagaimana yang diwar-warkan, perlu diingat bahawa perkara yang mencarik adat biasa terjadi kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, jika seseorang itu kejap dan kukuh tauhidnya tulus tawakkalnya kepada Allah memang harus bagi Allah mengurniakan keramat atau maunah kepada hambaNya yang dikehendaki, para pendekar dan hulubalang islam berjuang untuk menegakkan addin atau mati dijalan Allah, syahid matlamat kita dan mereka, bagaimana mungkin pejuang islam menuntut ilmu kebal untuk mengelak diri dari mati, terlebih lagi dari mati syahid dijalan Allah..bagi saya kebalnya dari peluru, tak lut senjata berasal dari kebalnya hati dan iman dari panahan syaitan, itulah kekebalan para pejuang islam. Terkadang Allah mengurniakan kemuliaan atau menzahirkan keramat untuk mengejapkan iman hambanya, inilah rahsia kurniaan ilahi kepada hambaNya yang bertakwa.. kebalnya hati sanubari terzahir di jasad kebal dari senjata. wallahuaklam. (muhibmahbub)

"Panglima Salleh memberi cebisan kain merah dan menjampi air tempayan untuk diminum pengikutnya sebagai permainan psikologi, supaya pengikutnya lebih bersemangat dan yakin ketika bertempur. Mungkin kain merah itu diberi supaya beliau dapat membezakan pengikutnya dengan komunis apabila terkorban," katanya.

PROFIL: Kiyai Salleh Abdul Karim

* Gelaran lain: Panglima Salleh, Kiyai Salleh, Cikgu Salleh, Penghulu Salleh, Salleh Hitam, Salleh Keling

* Tahun lahir: 1916

* Tempat lahir: Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor

* Tarikh meninggal: 21 April 1959


* Sumbangan: Tokoh pejuang menentang komunis di Batu Pahat dan Muar, Johor.

Sunday, October 18, 2009

UMNO Dulu, Kini dan Selamanya.................





KEHAMPAAN dalam politik, khususnya selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya umum 2008, telah memberi kesan besar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO sekarang yang merupakan Perdana Menteri keenam.

Dirinya yang berhemat menjadi seorang yang terlalu halus dalam setiap gerak politiknya. Tekanan politik yang berganda-ganda pula menyebabkan beliau begitu bersemangat dan sesekali cabaran membuatkan emosinya terganggu.

Najib yang kita saksikan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang berakhir Jumaat lalu tidak akan menjadi sedemikian jika tidak kerana kemerosotan sokongan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum ke-12, yang ombak tsunaminya baru saja surut pada 11 Oktober lalu apabila BN memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

Anak Allahyarham Tun Razak itu, pada usianya 56 tahun, mewarisi daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi suatu senario politik yang sangat sulit. Tidak pernah dalam sejarah UMNO, presiden parti yang paling dominan di negara ini terpaksa memimpin parti itu dalam suasana politik yang trauma dengan partinya hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Komen ringkas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ucapan Najib pada Perhimpunan Agung UMNO mendedahkan cabaran Perdana Menteri itu. Kata Dr. Mahathir, daripada ucapan Najib beliau merasakan Najib memahami tentang masalah yang menanti UMNO.

Najib pula tentulah lebih maklum kerana beliau sendiri yang menyampaikan ucapan tersebut pada perhimpunan itu iaitu ucapan dasar sulungnya selaku Presiden UMNO.

Begitu tersentuh Najib dengan tuntutan yang dibuatnya supaya UMNO segera berubah dan seruan supaya ahli-ahli UMNO lekas menukar keinsafan kepada kerja politik yang bersungguh-sungguh, beliau dikatakan menitiskan air mata ketika meneliti teks ucapan itu sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula.

Di Malaysia dan di mana jua, kemenangan dan kekalahan dalam politik memberikan liku-liku yang berbeza kepada seseorang pemimpin serta mempengaruhi cara dan strateginya berpolitik.

Selepas 200 hari mengemudi UMNO dan kerajaan, Najib terpaksa mengumpulkan semula kekuatan UMNO dan BN dengan kreativiti dan keberanian yang tidak pernah dilakukan oleh para pemimpin sebelumnya, termasuk oleh Dr. Mahathir sendiri yang berkuasa selama 22 tahun.

Najib tahu bahawa tanggungjawabnya amat besar selepas pengunduran Abdullah yang bersara kerana tekanan akar umbi.

Beliau memikul amanah maha hebat untuk menulis semula masa depan politik Malaysia.

Najib sendiri mengakui dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO tentang betapa pentingnya kemenangan pada saat-saat gelora politik seperti sekarang.

Walaupun telah merasai begitu banyak pencapaian politik sejak ditubuhkan pada tahun 1946 dan menjadi parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan memerintah Malaysia sehingga kini, UMNO selepas Mac 2008 begitu dahagakan sokongan rakyat, biarpun kecil.

Beliau berterus terang dengan ahli-ahli UMNO tentang impak kemenangan Tan Sri Mohd. Isa Samad dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kepada mood Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlangsung.

Kesegaran demokrasi

Jika UMNO mengadakan perhimpunan itu dengan kekalahan di Bagan Pinang, katanya, para perwakilan UMNO akan melangkah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam keadaan menunduk, tidak bersemangat dan mungkin marah-marah. Proses meminda perlembagaan parti bagi menyuntik kesegaran demokrasi juga tidak akan semudah yang diperlihatkan pada perhimpunan tersebut.

Najib sebenarnya membuat perhitungan politik kerana beliau sendiri yang memilih Mohd. Isa untuk bertanding di Bagan Pinang. Ia satu keputusan yang berpandangan jauh kerana Mohd. Isa memberikan BN suatu kemenangan dengan majoriti yang lebih besar, sebanyak 5,435 undi, berbanding majoriti 4,411 undi ketika BN menang di kerusi Dewan Undangan Negeri itu pada pilihan raya umum 2004.

Perbandingan dengan prestasi pada 2004 itu mustahak diambil kira kerana keputusan sewaktu pilihan raya 2004 menjadi tanda aras mengenai paras sokongan rakyat kerana ia merupakan kemenangan terbaik UMNO dan BN dalam sejarah pilihan raya.

Kemenangan Mohd. Isa di Bagan Pinang bukan sahaja menutup mulut para pemimpin pembangkang. Ia juga berpotensi ditransformasikan menjadi apa yang boleh dipanggil turning point kepada politik Malaysia.

Selepas Bagan Pinang, perubahan tiba-tiba berada di hadapan mata Najib dan barisan kepimpinan UMNO dan BN. Dan mereka perlu cepat-cepat mereguk titik peralihan itu dan mengatur langkah ke arah mengembalikan keyakinan rakyat.

Masa sebenarnya tidak banyak untuk Najib dan UMNO. Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan sebelum tahun 2013 iaitu sekitar tiga tahun lagi. Menukar pencapaian terburuk pada tahun 2008 kepada sesuatu yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang - dengan masa menjadi hambatan - memerlukan disiplin, keyakinan dan sokongan padu daripada setiap pemimpin dan ahli UMNO.

Ia juga menuntut pembugaran baru parti-parti komponen BN dan anjakan paradigma dalam pemikiran politik massa.

Dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan oleh Najib, UMNO muncul selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 sebagai sebuah parti yang menjadi payung kepada semua kaum, dan sedang digerakkan secara sistematik oleh Najib untuk menjadi 'juara rakyat'. Ahli-ahli UMNO perlu berkhidmat memperjuangkan rakyat.

Para pemimpin dan ahli UMNO di bawah kepimpinan Najib diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap tutur kata, pandangan dan tindakan. UMNO cuba diasuh oleh Najib untuk menjadi sebuah parti yang prihatin dan sensitif kepada banyak perkara termasuk dalam isu-isu kecil.

Beliau mahu keahlian UMNO mengambarkan regenerasi untuk mengembalikan sokongan orang Melayu khususnya orang muda dan wanita. Kata Najib, jangan sekat orang muda untuk masuk UMNO dan menyumbang bakti kepada parti itu.

Perlembagaan UMNO juga dipinda untuk menyuntik elemen demokratik yang lebih luas dalam parti dan membuka peluang kepada pemekaran budaya aktivis dan kesukarelawan dalam UMNO. Jaringan UMNO diperluaskan kepada segenap peringkat dan kumpulan masyarakat di Malaysia.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO, Najib berfalsafah mengenai mentaliti gila. Katanya: "Satu lagi jenis gila adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar, misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau outcome."

Daripada cara ekonomi dikembangkan sehinggalah kepada permainan politik, mentaliti gila seumpama itu telah berakar menjadi budaya di Malaysia.

UMNO jelas tidak boleh membuat kerja gila seumpama itu dengan mengulangi cara lama untuk memenangi hati rakyat. Parti itu perlu berubah dan dilihat berubah. Cara bekerja UMNO di segenap peringkat daripada ahli biasa sehingga pemimpin kanan yang berjawatan menteri terpaksa ditukar. Cara lama tidak cocok lagi. Tidak boleh lagi ada di kalangan UMNO menteri yang sombong atau wakil rakyat yang mengasingkan diri daripada pengundi yang diwakilinya.

Jika ahli-ahli UMNO dan BN melakukan kerja gila dengan membuat janji ingin berubah, cuba berganjak daripada kaedah lama dengan menanam tebu di bibir tetapi tidak mengotakannya, masa depan politik negara ini tidak akan sama lagi.

Pengorbanan

Najib seorang pemimpin yang ikhlas, mempunyai kebijaksanaan, keupayaan, pengalaman dan mendapat motivasi daripada pengorbanan ayahandanya untuk mengembalikan kehebatan UMNO dan BN, tetapi tanpa sokongan ahli-ahli UMNO, diburukkan pula dengan perangai mereka yang tidak mengotakan janji, beliau juga akan rebah.

Jika pihak lain naik kelak, masa depan kerajaan dan negara tidak akan sama lagi kerana mereka akan mengubah banyak perkara. Bukan setakat masa depan berganti, sejarah Malaysia dan sejarah UMNO juga akan ditulis semula. Pertaruhannya bukan sekadar hilang kuasa politik.

Perjalanan UMNO dan BN ke arah pilihan raya umum ke-13 sepatutnya sudah dapat digariskan dengan jelas selepas Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu.

Kekalahan berturut-turut BN kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan di Semenanjung iaitu di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai, Bukit Selambau dan Permatang Pasir selain tidak bertanding di Penanti seharusnya telah membolehkan para pemikir dalam UMNO dan BN membuat analisis yang komprehensif tentang punca-punca kekalahan.

Kita boleh membahaskan sesuatu kekalahan itu sebagai berpangkal daripada kelemahan calon, strategi kempen, pengundian berdasarkan garis perkauman, prestasi ekonomi dan sebagainya. Bagaimanapun, umumnya pengundi memerlukan feel-good factor sebelum mereka dapat menyokong parti kerajaan dalam pilihan raya.

Pada pilihan raya umum 2008, feel-good factor yang diinginkan itu berganti dengan ketidakyakinan, kebencian dan kemarahan.

Kemenangan BN di Bagan Pinang pada 11 Oktober lalu mengurniakan seri kepada Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu tetapi sejauh mana ia benar-benar menjadi turning point kepada politik Malaysia bergantung kepada apakah bentuk UMNO yang terjelma selepas perhimpunan itu tamat.

UMNO yang kuat dapat mengukuhkan BN. Seperti yang ditunjukkan dalam pengalaman politik sebelum ini, UMNO kena membantu menyelesaikan kebuntuan kepimpinan dan percakaran dalam MCA dan MIC jika ia ingin melihat BN kukuh.

UMNO tidak bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo UMNO. Ia bersaing menentang parti-parti lawan atas nama BN. Jika UMNO kuat tetapi parti-parti komponen BN lain memalitkan lumpur, bersengketa dan mengutamakan legasi peribadi lebih daripada perjuangan nasional, persepsi negatif juga akan terbentuk terhadap UMNO.

Kemelut politik dalam MCA dan MIC, seperti yang sedang berlaku sekarang, menjadikan BN satu raksasa yang berjalan dalam keadaan tempang. UMNO yang gagah dalam BN yang capik adalah umpama hulubalang hebat Melayu yang berdiri megah di atas bahtera bocor di tengah lautan. Kalau tidak segera disedari, hulubalang Melayu itu juga akan tenggelam.

Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Najib bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej bangkit berubah kepada para pemimpin dan ahli parti MCA dan MIC. Gerakan pula, jika ia benar-benar merasakan masih terdaya mencabar DAP di Pulau Pinang dan Perak, wajar berusaha mencetuskan impak politik atau parti itu akan mengakhiri hayatnya hanya sebagai kelkatu politik.

Kubu-kubu kukuh politik yang memberi jaminan kemenangan pada pilihan raya hendaklah terbina bukan sahaja dalam UMNO tetapi juga dalam BN yang kini dianggotai 13 parti komponen. Kekukuhan politik pelbagai kaum mesti tercermin, dirasai dan semangatnya menjalar ke dalam masyarakat dengan BN berada di tengah-tengahnya.

Jika ada program pembugaran besar-besaran baru selepas UMNO, sasaran mestilah BN dan parti-parti komponennya.

Sinar perubahan Najib harus segera sampai ke belantara politik parti-parti komponen BN itu. Inilah yang mustahak untuk disedari dan dihambat. Membiarkan budaya politik gila berleluasa di luar UMNO tidak kurang bahayanya. Perbuatan itu sama seperti merelakan ia menular dalam parti UMNO, meranapkan sebuah kuasa dari dalam.

Oleh Baharom Mahusin

Sunday, August 10, 2008

Peristiwa Yang Harus Jadi Pedoman: 16-30 Ogos 1945 dan 13 Mei 1969

AgendaDaily, April 27, 2005

Pengajaran dari dua peristiwa iaitu Pemerintahan Tanah Melayu selama empat belas hari oleh Pasukan Tentera MPAJA/Parti Kominis Malaya (PKM) atau Bintang Tiga dan Peristiwa 13 Mei 1969.

Ramai dikalangan generasi muda bangsa kita yang kurang mengetahui kedua-dua peristiwa tersebut dan implikasi mereka dalam perkembangan sejarah negara amnya dan sejarah orang Melayu khasnya


Peristiwa yang pertama ialah apabila Tentera Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA), satu pertubohan Parti Kominis Malaya (PKM) atau juga dipanggil Bintang Tiga yang memerintah Tanah Melayu selama empat belas hari pada tahun 1945 iaitu jangkamasa dari Tentera Jepun mengaku kalah kepada Tentera Bersekutu pada 16hb Ogos 1945 sehinggalah Tentera British sampai kembali ke Tanah Melayu menubuhkan Kerajaan Tentera British empat belas hari kemudiannya.






Dalam masa empat belas hari tersebut banyak orang Melayu yang dibunuh oleh Tentera MPAJA atau Bintang Tiga atas tuduhan bersubahat dengan Tentera Jepun. Kebanyakan mereka adalah bekas ahli pasukan polis yang ditubohkan oleh Jepun untuk menjaga keamanan di Bandar-bandar. Tentera Jepun memang anti kaum China .



Ini adalah lanjutan dari penaklukan negara China oleh Jepun dimana ramai orang China yang telah dibunuh terutamanya di Nanjing dalam apa yang panggil Massacre of Nanjing. Tentunya mereka tidak mempercayai orang China dan begitu juga orang China amat memusuhi Tentera Jepun.

Sikap permusuhan ini jugalah yang menyebabkan tunjuk perasaan besar-besaran anti Jepun di China baru-baru ini. Oleh itu, orang Melayulah yang majoritinya menganggotai Pasukan Polis Jepun di Tanah Melayu.

Jadi, bila Tentera Jepun mengaku kalah, maka berkeliaranlah anggota Bintang Tiga ke kampung-kampung mencari bekas polis tersebut yang kebanyakannya orang Melayu. Di kampung di mana saya dilahirkan yaitu Kampong Sungei Manggis, Kalumpang terdapat cerita-cerita yang sampai kepada kami bagaimana anggota Bintang Tiga ini mencari dan membunuh mangsa-mangsa mereka.


Mereka akan dibawa ketepi hutan dan disuruh menggali lubang. Kemudian mereka akan dihentam dengan belakang cangkul dan ditanam kedalam lubang yang sudah siap digali. Mungkin ditanam hidup-hidup. Sampai sanak saudara tidak tahu dimana mereka ditanam.

Boleh dikatakan perkara ini berleluasa di Selangor dan di negeri-negeri lain seluruh Tanah Melayu. Kita tidak tahu berapa banyak yang terbunuh dan cara-cara mereka dibunuh. Pakar-pakar sejarah perlu mengkaji peristiwa tersebut lebih terperinci kerana ia banyak mempengaruhi sejarah nasionalisme orang Melayu kemudiannya.

Oleh kerana yang membunuh ialah anggota Bintang Tiga yang kebanyakannya orang China dan mangsa mereka pula kebanyakannya orang Melayu, peristiwa tersebut telah bertukar menjadi pergaduhan antara kaum. Ramai orang Melayu yang bertindak balas terutamanya di Batu Pahat, Johor dan Sungei Manik, Teluk Intan, Perak.

Selepas peristiwa tersebut kemarahan orang Melayu kepada kaum pendatang mulai mendalam dan menebal. Mulai timbul semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu.

Bila kemudiannya pihak British cuba memperkenalkan konsep Malayan Union yang menghapuskan sistem Raja-raja Melayu, penghapusan hak istimewa orang Melayu, dan pemberian kerakyatan dan hak samarata kepada semua kaum, ianya telah mendapat tentangan yang hebat dari semua lapisan orang Melayu.

Mereka telah berarak dan menunjuk perasaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Lalu akibatnya, lahirlah UMNO, parti yang menjadi tunjang Kerajaan Barisan Nasional pada hari ini

Peristiwa 13hb Mei 1969 pula adalah akibat dari perayaan dan sambutan kemenangan yang mengila dan berlebihan yang dilakukan oleh penyokong parti-parti pembangkang (Cina), apabila mereka menang banyak kerusi dalam dalam Pilihanraya Umum 1969, terutama di Selangor di mana Perikatan dan pembangkang menang sama banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri.



Penyokong-penyokong parti pembangkang seperti Gerakan, DAP, dan Socialists Front telah berkeliaran di Kuala Lumpur dengan lori, kereta dan motosikal sambil berteriak dan menjerit-jerit “Melayu bodoh!”, “Melayu balik kampung!”, “Melayu sudah hilang kuasa!”, dan sebagainya.




Mungkin dalam penyokong-penyokong pembangkang itu ada anasir subversif dan kongsi gelap yang cuba memprokasi orang Melayu supaya negara kucar-kacir.

Tindakan provokatif pembangkang itu tidak di biarkan begitu saja oleh orang Melayu di Kuala Lumpur di kawasan seperti Kampung Baru, Kampung Keramat, Gombak dan Ampang.

Maka, berlakulah tindakbalas dan akhirnya menumpahkan darah dikalangan mereka yang tidak berdosa. Contohnya, orang yang membeli belah dan mereka yang menonton wayang di pawagam-pawagam di kawasan Chow Kit.

Kedua-dua peristiwa tersebut banyak mempengaruhi politik dan ekonomi orang Melayu. Peristiwa berdarah semasa Tanah Melayu diperintah selama empat belas hari oleh Bintang Tiga banyak membawa kesedaran kepada orang Melayu.

Ini kemudian menggembelingkan orang Melayu untuk bersatu menentang Malayan Union. British yang cuba menghakiskan keistiwaan pribumi kepunyaan mereka. Dan ia membawa kepada kelahiran UMNO itu sendiri.

Sementara Peristiwa 13 Mei 1969 pula menyedarkan orang Melayu mengenai ketinggalan bangsa mereka dalam bidang ekonomi yang tidak diperjuangkan dengan lebih tegas sebelum itu.

Lalu lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal semasa perintahan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Kemudiannya timbul konsep penubohan Masyarakat Perniagaan dan Perindustrian Bumiputra atau “Bumiputra Commercial and Industial Community” (BCIC).

Dengan DEB banyaklah anak-anak Melayu yang di hantar keluar negeri melanjutkan pelajaran mereka dalam berbagai lapangan professional untuk membanyakkan Orang Melayu dalam berbagai bidang professional seperti peguam, doctor, arkitek dan sebagainya.

Kakitangan kerajaan lebih banyak terdiri dari orang Melayu. Sebelum itu kakitangan kerajaan banyak terdiri dari kaum lain.

Pokoknya kedua-dua peristiwa tersebut banyak meninggalkan kesan kepada orang Melayu dan ini haruslah disedari oleh generasi muda Melayu sebagai pertunjuk kepada mereka dalam meneruskan perjuangan bangsa.

Jangan pisahkan 13 Mei dan DEB

1) Jika tidak berlaku kekacauan berdarah 13 Mei 1969, hubungan antara etnik di negara ini bukan sahaja setiap masa berada seperti telor di hujung tanduk, keadaan politik dan ekonomi juga berada dalam keadaan yang sentiasa terdedah ancaman dalaman dan luaran.

2) Lalu, formula perpaduan menjadi asas kepada status-quo seperti yang dialami sekarang. Ekoran peristiwa 13 Mei juga berlaku satu revolusi ekonomi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak bernama Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan dan menstrukturkan semula masyarakat bagi mengimbangi kedudukan ekonomi antara kaum.

3) Ini menjadi kepercayaan bukan sahaja kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tetapi juga kepada setiap Perdana Menteri, baik Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun pemerintahannya tetapi juga kepada Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setiap tahun perkara ini diperingatkan kepada rakyat betapa perpaduanlah sahaja senjata yang memungkinkan negara ini terus bergerak ke hadapan, dan setiap rakyat tidak kira agama atau kaum akan terus mengecapi nikmat kemakmuran negara.

4) Bagaimanapun, pada 13 Mei lalu bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Selangor sebuah buku bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 13Mei: Dokumen Terbuka mengenai Rusuhan 1969) tulisan bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Kua Kia Soongs, dilancarkan. Buku itu menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi kaum di negara ini, sebaliknya Dr Kua mengemukakan tesis baru:

"Kapitalis Melayu yang diketuai Tun Abdul Razak cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama rusuhan. Dr Syed Husin Ali, bekas sosiologis Universiti Malaya yang kini bergerak sebagai pembangkang kerajaan, ketika pelancaran buku berkenaan turut menolak tesis Dr Kua, walaupun Dr Kua selalu muncul dalam kumpulan yang berpihak kepada pembangkang seperti Suaram (Suara Rakyat Malaysia), Dong Jia Zhong (Persatuan Pendidik Cina), Suqiu (Tuntutan Pilihan Raya 1999) dan penentang utama Sekolah Wawasan. Nampaknya Dr Syed Husin, dalam isu ini, masih lagi mengekalkan kesarjanaannya. Yang benar tetap dinyatakan benar, yang salah dinyatakan salah.Walau sukar untuk mencari motif sebenar Dr Kua membangkitkan sejarah luka berdarah berkenaan, namun tren semasa menunjukkan ada usaha untuk menidakkan DEB dan dasar kerajaan selain menyembur racun terhadap kepercayaan rakyat kepada kerajaan semasa."

5) Sebelum ini asas formula perpaduan ini dicabar bekas Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam ASLI, Dr Lim Teck Ghee yang melalui `kajiannya’ mendapati bumiputera telah mencapai 45 peratus ekuiti, sedangkan kerajaan menyatakan sasaran DEB pada penghujung 1990 hanyalah sekitar 18 peratus, sedangkan sasaran dasar berkenaan ialah 30 peratus. Tidak sedikit orang Melayu juga terpengaruh supaya DEB atau dasar seumpamanya dimansuhkan, demi memenuhi kehendak orang seperti Dr Kua, Dr Lim dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

6) Jika Kit Siang melancarkan propaganda DEB memperkayakan sesetengah orang Melayu, Dr Lim menyatakan DEB sudah melebihi 30 peratus dan Dr Kua mempertikaikan punca utama sejarah berdarah 13 Mei kerana usaha menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan bukan kerana kebiadapan pembangkang waktu itu, terpancar keselarian di antara mereka: DEB atau Dasar Pembangunan Nasional perlu dimansuhkan segera.

7) Sudah ada orang Melayu menyanyi lagu sama dengan Dr Kua, Dr Lim dan Kit Siang, kononnya DEB hanya memperkayakan sebahagian elit Melayu, sedangkan tidak ada data konkrit mengenai hal ini. Anehnya orang Melayu yang menolak DEB yang menyatakan memperkayakan sesetengah Melayu adalah diri mereka sendiri! Sesetengahnya memberikan `pink form’ percuma, untuk memperkayakan orang tertentu.

8) Data semasa yang ada, pendapatan perkapital bulanan Bumiputera ialah RM2,500, India RM 3,200 dan Cina RM4,100. Selain bukti di hadapan mata, data semasa juga menunjukkan bangunan komersial dan premis perniagaan bagi bumipitera ialah 11.7 peratus, Cina 71.9 peratus dan India 4.6 peratus. Ini menunjukkan DEB jauh daripada memuaskan bukan sahaja kepada orang Melayu, tetapi kepada semua kaum kerana tidak mungkin perpaduan tercapai kecuali berlaku keseimbangan di antara kaum, atau jurang perbezaan itu wajib dikecilkan.

9) Dr Kua juga menyatakan 13 Mei sebagai ‘hantu’ yang digunakan kerajaan untuk menakutkan rakyat, jika berlaku sesuatu yang tidak menyebelahi kerajaan, seperti mengalamai masalah seperti tahun 1969. Walaupun kenyataan Dr Kua itu secara sepintas lalu nampak seperti ada kebenaran, tetapi pengkaji hubungan etnik di Malaysia seperti Profesor Madya Dr Mansor Mohd Nor dari Universiti Utara Malaysia berpendapat, asas kepada berlaku ‘rusuhan’ selalunya perbezaan ekonomi antara etnik dalam sesebuah masyarakat.

10) Dalam kajian beliau bersama rakan-rakannya ekoran konflik di antara kaum Melayu dan India di Kampung Medan pada 7 Mac 2001, Dr Mansor tidak menafikan punca asas ialah salah faham dan salah tafsiran mengenai satu kemalangan di Kampung Medan dan kemudiannya ketegangan akibat kes kenduri. Bagaimanapun, penelitian mendalam mendapati kes Kampung Medan berpunca daripada masyarakat India dan Melayu dihimpit kemiskinan, walaupun dikelilingi lautan kemajuan. Ini kerana, katanya, orang yang miskin, menganggur dan terpinggir memiliki ‘disposition towards conflics and violence’ (keinginan semula jadi terhadap konflik dan keganasan).

11) Prinsip yang sama berlaku pada 1969 iaitu kedudukan ekonomi (sumber yang membolehkan setiap orang makan dan menikmati kehidupan) tidak seimbang, maka konflik berlaku, walaupun secara sepintas lalu kelihatan keputusan pilihan raya pada 10 Mei itu menjadi belerang yang membakar api persengketaan. Menurut Dr Mansor yang kini menjadi Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Pelajar di Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang UUM, keadaan sosio-ekonomi merupakan penyebab utuma rusuhan di mana-mana negara, termasuk di Paris pada 2005 dan di negara ini pada 1969.

12) Apakah Dr Kua tidak melihat data-data ekonomi pada tahun 1970? Heng Pek Koon dalam satu tulisan bertajuk The New Economic Policy and the Chinese Community in Peninsula Malaysia dalam journal The Developing Economies, (September 1999, m.s 262–92) memaparkan dengan jelas data-data yang mencetuskan konflik berdarah berkenaan:


13) Pada tahun 1970, perbezaan pendapatan di antara Melayu dan bukan Melayu begitu ketara sekali. Orang Melayu membentuk majoriti golongan miskin, iaitu sekitar 74 peratus di Semenjung Malaysia. Populasi Melayu dikawasan luar bandar 63.4 peratus berbanding kaum Cina 26.1 peratus, sementara kaum Cina membentuk majoriti populasi di kawasan bandar 58.7 peratus berbanding dengan Melayu 27.4 peratus. Pendapatan purata orang Melayu ialah RM178.7, berbanding dengan Cina RM387.4. Ekuiti korporat Melayu pula hanyalah 2.4 peratus, berbanding Cina 34.4 peratus. Menariknya, waktu itu ekuiti korporat negara ini dikuasai oleh orang luar, khususnya British, iaitu kira-kira 63.3 peratus.


14) Tentunya British ingin menjaga kepentingannya di sini, tetapi Dr Kua telah memilih untuk mendapatkan data daripada orang British di pejabat dokuman awam di London, untuk membenarkan tesisnya, bahawa kekacauan 13 Mei berpunca daripada usaha untuk merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.

15) Elok Dr Kua mengajak rakan-rakan di Kolej New Era, Kajang dan di Dong Jia Zhong untuk bersama-sama mencari kaedah untuk memupuk rasa muhibah, khususnya di kalangan kanak-kanak di negara ini, melalui sekolah kebangsaan atau kaedah-kaedah lain yang diamalkan oleh negara yang mempunyai masyarakat majmuk.

16) Rata-rata rakyat negara ini mempercayai perpaduan merupakan aset penting yang membawa kejayaan negara sehingga hari ini, dan Akta Hasutan seharusnya menjadi benteng untuk memastikan perpaduan di negara ini terus berkekalan. Sesungguhnya, perpaduan tidak akan tercapai melainkan berlaku rasa kasih sayang di antara kaum dan tidak ada satu-satu kaum yang membolot kekayaan negara, kerana seperti kata seorang guru, kita meminjam negara ini daripada generasi akan datang.

17) Justeru, usaha memupuk perpaduan melalui kesaksamaan seperti DEB perlu diteruskan untuk memastikan semua anak-anak bangsa di negara ini dapat menikmati kehidupan secara relatif bahagia.

Disedut dari blog Sesungut Patah